Sunday, January 17, 2010

Lelaki Tidak Kompleks !!~

Perangai lelaki apabila dinilai dari sudut pandang seorang wanita mungkin tersasar kebenarannya. Wanita itu kejadiannya rumit berbanding kaum lelaki lantas pemikiran dan perbuatan terdapat jurang perbezaan. Pemikiran wanita lebih kompleks, tumpuan wanita lebih variasi dan kadang-kadang mampu menjangkau ke satu tahap yang tidak dijangka.

Apabila dinyatakan bahawa lelaki tidak kompleks, wanita akan berkerut dahi dan tidak mudah menerima hakikat kerana bagi wanita, semua perkara mempunyai pusingan dan putaran dan mustahil adalah jalan lurus yang ringkas. Tetapi, itulah kenyataannya.


Jika dilihat pada ‘bell curve’ atau puratanya, lelaki itu tidak kompleks, tidak rumit. Walaupun ada lelaki yang rumitnya melebihi kaum wanita, jumlahnya adalah umpama spesis terancam. Lelaki itu ringkas, lelaki satu arah dan bertindak mengikut arahan. Mendengar wanita cuba untuk ‘post-mortem’ mengapa lelaki melakukan sesuatu perkara adalah amat melucukan.


Ramai yang tidak mempercayai bahawa lelaki dijadikan serba ringkas. Usah pening untuk mengerti tindak-tanduk lelaki. Selama ini jika selepas pertemuan pertama dan lelaki tidak menghubungi, wanita akan berteka-teki, menilai diri, menjeruk rasa mengenang mengapa lelaki tidak cuba menghubungi selepas berjumpa.


Lantas dijawab persoalan itu dengan “He’s just not that into you” yang membawa maksud lelaki itu hanya tidak berminat dengan kamu. Tiada apa yang salah pada diri wanita, cuma yang lelakinya tidak berniat untuk memanjangkan perhubungan. Jadi wanita tidak perlu fikir tentang itu dan teruskan perjalanan hidup sehingga berjumpa dengan lelaki yang berminat dengan anda.


Apabila ditanyakan apakah yang dimahukan wanita, soalan ini ialah misi mustahil untuk dijawab walaupun oleh kaum wanita sendiri ataupun oleh yang empunya diri. Apabila soalan yang sama diajukan kepada lelaki, jawapan mereka amat ringkas, makan, main dan seks. Cetek? Mungkin. Tetapi inilah lelaki.


Apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki, motivasinya adalah perkara 3 itu. Lelaki sifatnya suka main-main. Apa sahaja yang ada unsur main-main atau hiburan akan mengujakan spesis ini. Kenapa lelaki suka merempit? Kenapa lelaki suka hisap rokok? Kenapa lelaki suka main game? Kenapa lelaki suka sports? Kenapa lelaki suka kereta? Pernah menonton ‘Video Zonkers’ atau rancangan seumpamanya? Berapa peratus yang terlibat adalah wanita?


Majoriti yang suka merepek, main skateboard dan jatuh tertonggeng ialah lelaki. Rakan saya memberi alasan bahawa lelaki tidak suka bertanya arah kerana mereka ingin bertembung dengan benda-benda baru di sepanjang jalan dan dalam masa yang sama menguji kemahiran navigasi mereka di jalan raya. Terjemahan di pihak wanita ialah lelaki ‘being ridiculous’ dan menghabiskan masa. Bagi pihak lelaki, sesat itu menghiburkan!


Kemudian, isteri-isteri kadang-kadang suka memberi isyarat dengan harapan suami memahami. Perlu diingat bahawa kadang-kadang isyarat yang dipancarkan isteri frekuensinya tidak sama dengan frekuensi penerimaan suami. Apabila apa yang diterima lain daripada apa yang diminta, mulalah kecil hati dan perbalahan tercetus. Ingatlah bahawa lelaki orangnya tidak kompleks!

Cakap sahaja apa yang anda mahu. Jika orang lelaki diminta membeli gula sekilo, ayam seekor, telur 5 biji, dia akan pulang dengan barang-barang tersebut secara tepat. Jangan mengharapkan ada aiskrim, biskut, ayam 2 ekor yang akan ditambah dalam pesanan tersebut.

Untuk hadiah harijadi, jika yang dimahukan ialah minyak wangi tetapi tidak diberitahu dan lelaki membelikan jam tangan, jangan hampa. Lain kali beritahu dia yang anda inginkan minyak wangi.


Kenapa lelaki mudah tergoda dengan wanita lain? Jawapannya mudah sahaja, mereka teruja dengan sesuatu yang baru dan ada harapan untuk flirt (unsur-unsur hiburan) dan percaya bahawa jika mereka pandai coverline (unsur-unsur hiburan dan kemahiran), wanita yang ada dalam hidup mereka tidak perlu tahu. Kaum lelaki juga pandai mengasingkan antara hiburan dan perasaan.


Apabila wanita diletakkan dalam situasi yang sama, cara wanita berfikir lebih rumit. Hati wanita tidak mampu mempunyai dua lelaki dalam satu masa dan tidak merasa bersalah tentangnya. Dalam episod ‘Sex And The City’, Carrie pernah mencuba untuk menjadi seperti lelaki, bertukar pasangan hanya untuk seks. Dan percubaan Carrie gagal kerana sifat wanita memang tidak boleh mengasingkan intimasi dan perasaan.


Bukan berpihak kepada kaum lelaki tetapi wanita perlu menerima hakikat bahawa lelaki ialah insan yang serba ringkas, dan tidak perlu dikomplikasikan. Itu menjelaskan hadirnya ramai lelaki yang dikategorikan wanita sebagai ‘tidak berguna’. Apabila fakta ini boleh diterima oleh wanita, banyak perkara akan menjadi mudah dan banyak airmata yang dapat dijimatkan.

No comments:

Post a Comment